Tuesday, September 7, 2010

Maafkan Saya,ibu...

‘’Prangggg’’ pasu kesayangan ibu jatuh berkecai. ‘’Ya Allah.Boboi!’’ Ibu terus keluar rumah sambil memarahi Boboi. Boboi hanya berdiam diri.Tirah hanya memandang sahaja situasi tersebut dari dalam rumah tanpa berkata apa-apa.

Sejak kejadian itulah Boboi tidak pulang ke rumah sudah hampir dua minggu. Tirah berasa sangat sedih dan kecewa akibat peristiwa itu. Tiada langsung berita mahupun tindakan daripada ibu apabila Tirah bercakap tentang Boboi.

 Ibu hanya akan berdiam diri dan mengubah topik perbualan mereka. ‘’Ibu sebenarnya nak beritahu sesuatu kepada kamu Tirah. Ibu tak suka kamu asyik bercakap tentang Boboi. Ibu dah jemu mendengar namanya. Sudahlah Tirah. Kalau kamu bercakap lagi tentang hal itu ibu tidak teragak-agak untuk …’’ belum sempat ibu menghabiskan percakapannya,telefon berdering. Sejak kehilangan Boboi,kehidupan Tirah bagaikan tidak seceria dahulu. Selalunya dia akan menghabiskan masa bersama Boboi setiap petang. Kini,semua itu bagaikan sudah lenyap. Berkali-kali dia memberitahu ibu dia amat menyayangi Boboi,tetapi jawapan ibu masih sama.

Petang Sabtu Tirah dihantar kembali ke sekolah,tetapi perasaan dia masih terumbang-ambing teringatkan Boboi. Pernah sekali dia merayu pada ibu untuk cuba mencari Boboi tetapi ibu pedulikan rayuannya itu. Sampainya Tirah ke dalam bilik 1B-11 Asrama Puteri Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu,ahli kamarnya kehairanan dengan sikap Tirah yang agak berlainan berbanding minggu sebelumnya. ‘’Kak Tirah,kenapa ni? Muram sahaja Ika tengok.

 Ada masalah ke? Kalau boleh,Ika tolong Kak Tirah.’’ Ika yang dua tahun muda dari Tirah terus bersalaman dan menanyakan khabarnya’’. Dia hanya berdiam dan terus meletakkan beg di depan almari. Ika terus menyambung kerjanya selepas tiada sebarang tindak balas dari Tirah. Setelah selesai mengemas barang dan menukar pakaian,Tirah turun ke dewan makan untuk makan malam. Dalam perjalanan ke dewan makan dia terlanggar dengan seorang senior yang agak popular di sekolah itu. ‘’ Jalan lain kali pandang ke depan,bukan tengok belakang!’’ satu tamparan singgah di pipi Tirah. Saat itu dia dapat rasakan bagai halilintar sedang membelah bumi. Satu demi satu masalah diterima tetapi dia masih ingat lagi kata-kata sahabat baiknya bahawa kesabaran itu dapat mengatasi segala masalah yang dilalui.

 Dia terus bersabar dan berlalu dari situ. Sedikit dendam pun tidak mengusik hatinya tika itu. Apa yang dia fikirkan ialah kesabaran. ‘’ Tirah! Tirah! Tunggu sekejap. Kenapa laju sangat? Awak nak pergi mana laju-laju ni? Makanan tak lari mana pun’’. Farah tersengih-sengih sambil berjalan laju ke arah Tirah. ‘’Eh,aku bergurau sahaja. Janganlah kau terasa ya Tirah. Aku tak bermaksud untuk sakitkan hati kau pun’’. Farah memegang bahunya sambil tersenyum. ‘’Mari kita pergi dewan makan bersama-sama. Kau mahu tak?’’ Farah memegang erat tangan Tirah dan mereka berjalan menuju ke dewan makan. Betapa terkejutnya mereka apabila barisan untuk mengambil makanan sangat panjang. Hati Tirah ketika itu sangat pedih. Masalah bertambah-tambah kurang dari sejam. Air mata terus mengalir apabila teringatkan Boboi. Farah amat terkejut apabila memandang wajah Tirah yang kemerah-merahan kerana menangis terus bertanya ‘’ Tirah,kau ada masalah ke? Kenapa tak cerita pada aku.Manalah tahu masalah tu boleh kita selesaikan sama-sama? Kalau simpan seorang pun bukannya boleh selesaikan’’. Kerisauan Farah memuncak apabila segala pertanyaannya diendahkan Tirah. Semakin deras air matanya mengalir apabila soalan itu diajukan oleh sahabatnya itu. ‘’Baiklah Tirah,kau pergi duduk. Aku ambilkan makanan untuk kau ya? Sudahlah tu,berhenti menangis’’. Tirah memulakan langkahnya ke sudut meja berdekatan dengan pintu utama dewan makan. Di situ merupakan tempat dia dan rakan-rakannya makan dan pelajar-pelajar di situ bagaikan sudah tahu bahawa di situ adalah tempat mereka. Tirah menundukkan mukanya dan masih lagi tidak berhenti menangis sehingga Farah sampai dengan membawakan makanan untuknya. ‘’Terima kasih Farah’’. ‘’Kalau ya pun lapar pergilah basuh muka dulu,baru makan. Nanti air mata masuk nasi tu jadi masin. Tak sedap kau merungut pula’’. Tirah Cuma tersenyum dan pergi basuh mukanya yang kebasahan dan kembali ke tempatnya untuk menjamah makanan tersebut.


Seminggu Tirah berada di sekolah tersebut,baru Tirah teringatkan ibunya di rumah. Dia terlampau sibuk dengan pembelajarannya sehingga terlupa tentang ibunya. Tirah mencapai tudungnya dan bekas duit syiling di atas katil dan bergegas ke bawah untuk menelefon ibunya. Tirah berlari dengan sekuat hatinya ke arah telefon awam. Tiba-tiba Tirah tersadung kakinya di baldi yang terletak di tepi tangga dan pandanganya terus menjadi kelam. Apabila dia tersedar,dia sudah berada di hospital. Kes dia terjatuh tangga terus dihebahkan satu sekolah. Ceritanya dia mencuba untuk bunuh diri. Sebelah kanannya ibu dan kakak-kakaknya manakala di sebelah kirinya pula Ustazah Mahani dan Encik Tarudin,ketua warden sekolah itu. Tirah menitiskan air mata apabila terpandang ibunya dan dia terus memeluk dengan hati yang gembira. ‘’ Aduh,sakit ibu’’.Tirah menjerit kesakitan setelah tangan kanannya yang patah itu terkena besi katil. ‘’Ibu,Boboi mana? Tirah teringin sangat nak jumpa dia. Tirah rindu dia.’’ Ibu hanya memandang Tirah dengan sayu dan hiba. ‘’Ibu minta maaf,ibu tak dapat menjumpai Boboi. Siapa pun belum menemuinya lagi. Ibu minta maaf Tirah’’. Tirah memejamkan matanya dan pandang ke arah lain. Dia masih tidak dapat menerima hakikat walaupun sudah sebulan berlalu. Keputusan peperiksaannya juga semakin menurun. Dia sangat sayangkan Boboi. Boboi sudah dianggap sebagai keluarganya walaupun Boboi diambil di rumah Makcik Sena pada tahun 2004.


Tirah dihantar pulang ke rumahnya kerana cuti sakit. Tirah terpaksa berkerusi roda kerana kakinya disimen akibat kemalangan di asrama tempoh hari. Apabila sampai sahaja di biliknya,Tirah mula mengurungkan diri. Dia teringat-ingat kenangan dia bersama-sama Boboi. Dia juga pernah teringat kesalahan yang dilakukannya dahulu kepada Boboi. Dia sangat berharap Boboi dapat maafkan kesalahannya dahulu. Jika dibandingkan Tirah dan adik-beradiknya yang lain,Tirah sangat rapat dengan Boboi manakala yang lain hanya endah tak endah sahaja dengan Boboi. Selain itu,perangai Boboi kadang-kadang mengundang kemarahan ibu tetapi dia juga yang menceriakan keadaan. Boboi sangat suka makan,hampir tiga jam dia akan mula menangis kelaparan. Tirah yang akan memberinya makan tetapi sejak Tirah mula belajar di sekolah berasrama penuh,Boboi semakin hilang selera makan dan semakin kurus. Kenangan yang paling terindah buat Tirah ialah ketika Boboi makan. Boboi sudah pasti akan makan sehingga makanan itu berselerak dan dimarahi ibu. Mengenangkan kenangan mereka,Tirah tersenyum sendirian. Tirah terus membuka telefon bimbitnya dan melihat gambar-gambar dia bersama Boboi. Mukanya ketika itu sangat ceria dan tidak pernah rasa sedih tetapi sejak kehilangan Boboi,perasaannya sering berubah-ubah. Kesedihannya kembali lagi,dia menangis dan menganggap Boboi sudah mati. Dia berjanji dengan dirinya bahawa dia tidak akan sesekali memadam gambar Boboi di dalam telefon bimbitnya mahupun memadam kenangan mereka bersama-sama.


Pagi itu,ibunya mengajak Tirah ke kedai untuk membeli makanan mentah. Makanan-makanan itu akan dimasak untuk menjamu tetamu yang akan datang masuk meminang kakaknya yang sulung. ‘’ Tirah rasa macam tak mahu pergilah ibu. Rasa seperti tidak sihat. Boleh Tirah berehat tak di rumah? Maafkan Tirah ya ibu’’. Ibu mengangguk lemah dan terus menutup pintu biliknya dengan perlahan. Sebenarnya ibu berasa terkilan dengan Tirah kerana sikapnya sejak-sejak ini seperti menyalahkan ibu sepenuhnya seperti ibu penyebab utama Boboi hilang. Ibu juga amat sayangkan Boboi bukan Tirah sahaja. Apabila ibu sampai di kedai,ibu hanya membeli barangan keperluan sahaja. Selalunya ibu akan membeli suratkhabar untuk dibaca tetapi tidak pada hari itu. Ibu terus memandu keretanya dengan laju untuk pulang ke rumah. ‘’kreeeekkkkkkkkk! ’’ bunyi pelanggaran itu sangat kuat. Ibu terkesima. Ibu terus memberhentikan pemanduannya dan meluru keluar dari kereta untuk melihat apakah yang dilanggarnya itu. Ibu terduduk setelah melihat yang dilanggar itu adalah Boboi,kucing kesayangan anaknya. Ibu terkejut melihat keadaan Boboi yang menyayat hati itu. Ibu terus menjadi lemah melihat badan Boboi yang dahulunya gebu,gemuk kini sudah menjadi hancur dan darah keluar tidak berhenti lagi. Ibu sudah terlambat. Ibu cuba kuatkan diri untuk mengutip cebisan-cebisan badan Boboi yang sudah tidak bernyawa lagi untuk dibawa pulang tetapi ibu tidak berdaya untuk melakukan semua itu.

Tirah dan kakaknya amat terkejut melihat keadaan ibu mereka yang berlumuran darah. Kakaknya terus menerpa kea rah ibu ‘’Masya-Allah,apa ibu dah buat ni habis darah di baju ibu?’’. Ibu hanya mampu menangis dan terus melutut di hadapan Tirah dan ibu meminta maaf kepada anak bongsunya itu. Setelah ibu menceritakan segalanya,Tirah terus bangun dan memarahi ibu. ‘’ Itulah Tirah suruh ibu cari Boboi,tapi ibu tak mahu! Sekarang ibu sendiri yang bunuh Boboi. Tirah benci ibu!’’. Tirah menengking ibunya dan berlalu dari situ. Ibu berasa sangat kecewa dan keluar dengan segera dari rumah tersebut.

 Kakak hanya mampu menghalang tetapi apakan daya ibu bersungguh-sungguh mahu keluar dari rumah tersebut. Majlis pada hari itu terpaksa dibatalkan.Pada malam itu juga,mereka mendapat mesej dari ibu.Mesej tersebut berbunyi ‘’Ibu maafkan Tirah.Ibu harap lepas ni Tirah akan bersabar selepas ketiadaan ibu.Kakak,ibu doakan kamu Berjaya dunia akhirat dan bimbing Tirah ya.Ibu sayangkan kamu berdua.Dua-dua anak ibu dan abah.Ibu yang jaga kamu selepas abah meninggal,tiada orang lain. Apa-apa pun ibu nak kamu maafkan ibu’’. Kakak sangat bimbang dengan mesej tersebut. Kakak tidur dalam keadaan yang tidak tenang pada malam tersebut.


‘’Assalamualaikum. Ini rumah Puan Masriah ya? Saya dari pejabat polis daerah nak melaporkan bahawa Puan Masriah terlibat dalam kemalangan dan telah meninggal dunia jam 6 pagi tadi. Saya berharap cik bersabar dan tolong ikut kami ke hospital Jitra sekarang untuk pengesahan mayat’’. Kakak terkelu dan Tirah terus terduduk mendengar khabar buruk itu. Tirah hanya mampu berkata ‘’Maafkan Tirah ibu..’’.

by,
Siti Nazratul Athirah binti Ismail.
Tugasan kerja semasa cuti sekolah 2 Sept-18 Sept 2009