Sunday, September 20, 2015

Hikmah yang tersirat

Minggu kedua sudah pun berlalu. Baki 12 minggu sahaja lagi sebelum Semester 6 menjengah. Semester 6 adalah semester akhir paraklinikal untuk pelajar Doktor Perubatan Veterinar Tahun 3. Tahun 4 sudah memasuki fasa tahun klinikal. 

'cepatnya masa berlalu', ayat biasa yang saya sering disebut-sebutkan. Minggu pertama dan kedua pembelajaran berlalu begitu pantas. Nak kejar semuanya perlukan fokus. Sekali fokus hilang, terbabas semuanya. Sejak dua menjak ini juga saya kerap update blog berbanding update artikel pendek di Facebook. 

Sejak dua minggu ini juga, saya dapat rasa kehidupan saya sudah 'kembali' seperti diri saya dua tahun yang lepas. Diri saya di mana saya lebih banyak menghabiskan masa untuk buat sesuatu yang berguna untuk diri sendiri. Saya dah mula 'kembali' membaca. Itu perkara yang paling penting dalam hidup saya sebenarnya. 

Sumber untuk menulis dan bercakap ialah ilmu. Ilmu datang dari banyaknya membaca. Ada juga pensyarah saya di kelas, dia selalu berpesan-pesan walaupun dia seorang non-Muslim!

spend your time more on books. not facebook. don't wasting your time on 
facebook-ing, reading nonsense newsfeeds

and the most important is, spend more on animals. not human.

Saya faham maksud dia. Faham sangat. 

Memang betul pun. Kadang-kadang tu kalau buka Facebook saja, atau Instagram (jarang buka instagram kecuali nak update tentang bisnes), Saya akan lebih membaca di newsfeeds. Minda saya memang tak terbuka. Hidup dalam alam maya. 

Tak terasa pun nak buka buku. Sekali dah scroll, saya pasti akan scroll lagi. 

Kalau scroll saja tak apalah, selepas scroll mesti akan stalk seseorang!

Itu lagi parah. Bagi saya, semua tu sebenarnya tak penting tapi saya selalu buat. Buat perkara yang tak penting dan buat-buat penting. Sejak dapat rakan sebilik yang baru sekarang ni, dia kerap pinjamkan buku yang dibelinya tu untuk saya baca. Memandangkan Tahun 3 veterinar ni dah tak sama macam Tahun 1 dan Tahun 2 dulu, saya akan habiskan masa dengan membaca reference books untuk memantapkan pemahaman. 

Jumaat lepas juga, sambutan hari jadi sahabat saya, Na-Zu. Nama pun dah hampir nama saya. Dia peminat anime, bijak melukis pula tu. Lepas dari sambutan harijadi, saya dan Yana akan ke surau (tempat solat sebelum terus ke dewan untuk program - ambil merit). Kolej 17 UPM buat konsep merit sebagai 'lesen' untuk tinggal di kolej. Kalau tak lepas points merit memang tak akan ada peluang nak tinggal di kolej lagi, kecuali kalau rayuan diluluskan selepas ada temuduga. Dengar macam rumit, tapi itulah hidup. Kita ni bukan sesiapa pun nak dapatkan kemewahan tanpa usaha. 

Di surau

saya terbaca sebuah buku. Tentang tokoh-tokoh ilmuan Islam. Baru saja baca 5 mukasurat, dada saya dah berdegup laju. Rasa semangat! Semangat dengan sikap tokoh-tokoh Ilmuan Islam dahulu. Semangat mereka dalam menuntut ilmu sangat tinggi. Mereka ada kesungguhan. Sikap yang ada dalam diri mereka, dan kekuatan kebergantungan kepada Allah tu sangat tinggi. Contoh tokoh Ilmuan Islam ialah Ibnu Sina. Beliau sangat hebat dalam ilmu perubatan. Ketika di sekolah dulu pun selalu sangat kita dengar pasal Ibnu Sina, kan? 

Itu merupakan salah satu faktor juga kenapa saya rasa bersemangat nak belajar semester ni. Rasa dahaga. Dahaga sangat nak belajar lebih lagi. Lagipun semester ni konsep pembelajaran lebih kepada makmal, bukan di ladang lagi. Kami juga didedahkan dengan clinical round-case presentation dari senior. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya nanti kami tak terkejut dengan tahun klinikal (Tahun 4 dan Tahun 5). 

Sejak daripada kisah baca buku di surau itulah yang membuatkan saya rasa nak belajar, belajar dan belajar lagi. Nak belajar. Belajar tu jangan berhenti. Jiwa juga tengah memberontak sekarang nak kutip ilmu tentang usahawan lagi. Berniaga sambil belajar. Menulis sambil belajar. Dengar macam susah, tapi bagi saya itu satu kepuasan. Berniaga, jana pendapatan sampingan. Menulis? Kerana nak berkongsi pengalaman. Pengalaman itu juga satu ilmu. Dengan pengalaman pun kita boleh mengajar. 

Hidup ni bukan nak fikir tentang kahwin semata-mata.
Fikir siapa pasangan semata-mata. 
Berfikir masalah tanpa cuba menyelesaikannya semata-mata.

Hidup ni menyeluruh. Islam pun menyeluruh. Islam ni dipraktikkan secara menyeluruh. Bukan terhad kepada pakaian sahaja. Islam pun menggalakkan umatnya menjadi kaya supaya dapat membantu orang lain. Islam pun menggalakkan umatnya untuk menimba ilmu. Apa yang saya suka nak sebut tentang ilmu ialah, 

belajar sampai bila-bila.
jangan setakat belajar sampai ke puncak gading.

Ilmu tu luas.

Belajar sampai akhir hayat kita. Kumpul teori dan sambil praktikal. Jangan hanya teori semata-mata terkumpul, praktiknya jauh sekali. Sekarang ni saya dalam proses menghabiskan buku-buku ilmiah dalam masa seminggu. Sekurang-kurangya 2 buah buku dalam seminggu. Baca dan hadam. Baca dan buat. Jangan tunggu nyawa di hujung tanduk, baru nak mula beramal dengan ilmu yang kita ada. Jangan jadi orang yang rugi. 

Buku yang dalam proses 'penghadaman' sekarang ni ialah Diari Seorang Diplomat, Hikmah yang Tersirat. Sejak sebelum saya mula baca perkataan pertama buku ini lagi saya sudah tahu apa pengakhirannya. Pengakhiran yang sedih kerana penulis ini meninggal, dan Allahyarham tidak sempat melihat karyanya dibukukan. 

Aha, dan saya teringat kata-kata seseorang yang memberi kesan,

reading is not a hobby, it is a must.

Membaca itu kemestian. 

Perlu jadi amalan. 

Perlu dilakukan harian.

Termasuklah membaca al Quran.

dan membuat hafalan.

Serta zahirkan dengan amalan.

Sebelum ni, saya rasa tak mahu dan malas nak tukar rakan sebilik. dua tahun saya berada dengan orang yang sama. Rupanya, ada hikmah besar Allah nak gantikan. Allah gantikan rakan sebilik yang juga baik. Baik dari segala aspek. 

MasyaAllah. 

Lagi satu perkongsian, 

Sejak kecil saya tinggal dengan Mak. Dari kecil juga saya selalu berkepit dengan Mak. Hatta ke pasar pagi pun saya akan berkepit. Dari kecil sehingga besar dari Mak sekarang ni pun saya suka berpegangan tangan dengan Mak. Bukan tak pandai berdikari, tetapi belajar menghargai orang yang kita sayang. Seperti ada aliran elektrik-kasih sayang dengan Mak bila kita ada contact atau direct contact. Hebat kan? 

Dengan orang yang halal je tau. 
Kalau dengan yang tak halal tu, nafsu je bergetar cik adik. 

Dari kecil juga saya selalu nampak Mak berkongsi rezeki dengan orang lain. Anak-anak menjadi keutamaan, orang susah menjadi tempat perkongsian. Tak ada duit macam mana pun ada saja Mak nak berkongsi. 

Mulanya hati saya keras.

Tapi dah selalu tengok, dan anak saudara saya yang paling sulung pun dah pandai bersedekah. Saya rasa malu. Bersedekah ni, bukan nak melihat siapa yang perlu disedekahkan tapi lihat dulu kepada diri sendiri. Kita ni macam mana. 

Ajaibnya bersedekah tu, hanya Allah sahaja yang tahu. 

Jika sedekah itu diberi dengan ikhlas, Allah akan menggantikan sesuatu yang lebih hebat dan berganda-ganda selepas tu. Jadi jangan risau. Sebahagian rezeki yang kita dapat tu, banyakkan memberi kepada orang lain. Jangan fikir banyak. Belanja orang berpuasa untuk berbuka juga satu sedekah tau. Alih benda yang membahayakan di jalan juga sedekah. 

Perbanyakkan sedekah. 

Banyak jutawan muda sekarang berkongsi tips untuk berjaya dalam bisnes. Antaranya, tunaikan kewajipan sebagai seorang Islam. Kedua, tunaikan hak-hak dalam keluarga. Jangan membelakangi ahli keluarga. Keluarga tu lebih utama daripada bisnes kita sebenarnya. Seterusnya, banyakkan sedekah. 

Masa kita tak ada apa-apa ni lah kita kena belajar mengeluarkan duit untuk bersedekah. Orang yang beragama Islam, konsep mudah nak kaya-perlu bersedekah. Banyakkan memberi. Allah tak akan rugikan kita sesen pun. Yang pasti, sedekah itu untuk siapa kalau bukan untuk diri sendiri. Hebatnya bersedekah. 

Saya juga semakin lama semakin nampak hikmahnya di sebalik bersedekah. Buku Hikmah Yang Tersirat ni banyak juga yang saya dapat ambil ibrah (walaupun baru baca beberapa muka surat). Hikmah tu senang sangat nak nampak. Moga Allah bukakan pintu hati kita supaya lebih cerah dan tersuluh untuk melihat hikmah 

InsyaAllah. 






No comments: